Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Malaysia Madani di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM yakin pemimpin, penjawat awam mampu kukuh semula negara

PUTRAJAYA, 19 JAN: Pimpinan negara dan penjawat awam mampu mengangkat semula Malaysia menjadi negara yang kukuh dan kuat seperti sebelum ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu hanya boleh dicapai jika semua pihak berusaha membaiki keadaan dan meninggalkan episod lama untuk melakar sejarah baharu serta melahirkan masyarakat madani berteraskan nilai kemanusiaan.

“Saya menaruh keyakinan tinggi Malaysia mampu diangkat semula sebagai negara kukuh dan kuat serta dikenali negara madani yang mampu diangkat martabatnya.

“Saya tidak mahu nama Malaysia tercemar dengan skandal dan permasalahan cetusan pertelingkahan kaum. Selain itu, dengan peranan semua Malaysia dikenali negara makmur, adil dan menolak sebarang bentuk kezaliman terhadap individu dan kaum,” katanya.

Beliau berucap ketika menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Anwar juga memohon kerjasama rakyat untuk meletakkan satu asas untuk menyelamatkan negara.

“Saya tegaskan semula, buka pintu hati selamatkan negara. Negara kita pernah tunjukkan potensi yang baik dan juga tercorot.

“Beri kesempatan untuk anak-anak serta generasi seterusnya supaya harapan dapat dibina dengan kekuatan mulai sekarang,” katanya.


Pengarang :