Raja Muda Selangor DYTM Tengku Amir Shah (tengah) bergambar bersama Yoodo Red Giants, iaitu skuad e-sukan Mobile Legends pada majlis pengumuman skuad e-sukan itu di Pusat Latihan Selangor FC pada 19 Januari 2023. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC perkenal skuad e-sukan hadapi liga Mobile Legends

SHAH ALAM, 19 JAN: Selangor FC hari ini memperkenalkan pasukan Yoodo Red Giants, iaitu skuad e-sukan Mobile Legends pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) 2023 pada awal bulan hadapan.

Ketua e-sukan Selangor FC Simon Lim berkata pasukan Yoodo Red Giants yang diuruskan oleh Mohd Erwin, 26, akan dibarisi oleh Muhammad Yaacob, 23; Mohd Hakim, 22; Syed Naufal Fitri, 20; Ilman Zareef, 19; Muhammad Amir Zakwan, 19 dan Muhammad Haqqulah, 16.

“Kita menyasarkan skuad ini akan berada di kedudukan empat terbaik dalam edisi MPL kali ini dan untuk tujuan itu kita akan melatih mereka sebagai atlet profesional dengan ditempatkan di sebuah ‘gaming house’ di sini.

“Kita juga akan mempunyai jurulatih kecerdasan yang akan melatih mereka dan pakar pemakanan yang menjaga serta memantau soal pemakanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman skuad tersebut di Pusat Latihan Selangor FC, di sini hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Selangor FC turut berkenan berangkat ke majlis tersebut. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Selangor FC Aladdin Mostafa.

Beliau berkata bagi musim MPL kali ini, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM200,000 hingga RM400,000 untuk pasukan tersebut merangkumi perbelanjaan semua aspek termasuk gaji.

Lim berkata pihaknya juga mempunyai perancangan untuk melebarkan sukan tersebut bagi acara PUBG.

“Dalam perancangan kami, selepas ini mahu menubuhkan pasukan PUBG. Diharap urusan pasukan hari ini (Yoodo Red Giants) dipermudahkan, kita akan ada skuad PUBG pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Yoodo Chow Tuck Mun berkata pihaknya berharap kerjasama dengan Selangor FC bagi pasukan baharu itu membuahkan hasil dan berjaya meraih kejayaan selain dapat membanggakan negara.

-BERNAMA


Pengarang :