Pasukan kebangsaan meraikan kemenangan bersama ‘Ultras Malaya’ selepas berjaya menewaskan pasukan Singapura pada perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya mampu jinakkan Gajah Perang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Berbanding Thailand selaku juara bertahan, Malaysia memiliki kelebihan pada pertembungan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam esok.

Berdasarkan lima pertemuan terakhir, Malaysia merekodkan dua kemenangan berturut-turut pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan seri tiga kali masing-masing pada separuh akhir Piala AFF 2018 dan kejohanan Piala Raja Thailand, September lepas.

Dua kemenangan diraih pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu cukup penting yang membolehkan Malaysia mara ke pusingan kelayakan Piala Asia sebelum mengesahkan tempat di kejohanan berprestij itu sekali gus menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit.

Rekod baik itu wajar diteruskan pasukan negara bimbingan Kim Pan Gon menjelang perlawanan di Stadium Nasional apatah lagi venue berkenaan sentiasa menjadi igauan buruk buat skuad Gajah Perang apabila masih belum berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan di sini.

Justeru, pasukan negara mempunyai peluang menundukkan skuad bimbingan Alexandre Polking seterusnya membawa bekalan positif apabila bertandang ke Bangkok bagi aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Selasa depan.

Namun, Thailand adalah pasukan paling berjaya dalam kempen Piala AFF sejak penganjuran sulung pada 1996 apabila muncul juara sebanyak enam kali selepas beraksi pada sembilan edisi final.

Thailand juga memiliki sedikit kelebihan dalam rekod pertemuan menentang Malaysia pada peringkat separuh akhir apabila memenangi dua daripada keseluruhan tiga pertembungan masing-masing pada edisi 2000 (2-0) dan 2012 (3-1) sementara tewas menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan pada edisi 2018.

Pada kempen kali ini, anak buah Polking tampil cemerlang selepas muncul juara Kumpulan A dengan rekod tanpa kalah – menang tiga dan seri satu untuk mengesahkan kemaraan Thailand ke separuh akhir buat edisi kelima berturut-turut manakala Malaysia, juara edisi 2010 sebagai naib juara Kumpulan B.

Thailand muncul pasukan dengan jumlah jaringan tertinggi setakat ini apabila mengumpul 13 gol yang menyaksikan penyerang prolifik berusia 34 tahun Teerasil Dangda kini mendahului carta penjaring terbanyak selepas meledak lima gol dalam empat perlawanan.

Juara Kumpulan B Vietnam dan naib juara Kumpulan A Indonesia masing-masing merekodkan 12 gol sementara Malaysia dengan 10 gol setakat ini.

Dari sudut pertahanan, Thailand yang bolos dua sepanjang saingan kumpulan adalah pasukan kedua dengan jumlah bolos terendah di belakang Vietnam yang gawangnya masih belum bocor selepas empat perlawanan.

Sementara anak buah Pan Gon bolos empat dalam saingan kumpulan selepas tewas 0-3 kepada Vietnam sebelum mencatat kemenangan 4-1 ke atas musuh tradisi Singapura.

Bagaimanapun, dengan prestasi semasa pasukan dan individu terutama selepas membenam Singapura, Malaysia dilihat berada dalam ‘mood’ terbaik dan tidak berdepan masalah untuk tampil dengan persembahan cemerlang bagi mengatasi Thailand.

Malah, pasukan negara juga mempunyai kebolehan menjaringkan gol dalam pelbagai cara menerusi rangkaian jentera serangan seperti pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dan penyerang naturalisasi Sergio Aguero serta pemain tengah kacukan Stuart Wilkin.

Situasi itu sekali gus memberi tugasan mencabar kepada benteng pertahanan Thailand untuk menjangkakan setiap gerakan serangan dilancarkan ke kubu mereka.

Mohamad Faisal dan Wilkin merupakan penjaring terbanyak bersama pasukan negara selepas masing-masing mengumpul keseluruhan tiga gol sementara Aguero telah meledak dua gol setakat ini.

Selain komitmen barisan pemain, sokongan padu peminat tanah air terutama di stadium juga mampu ‘memenangkan’ Malaysia, dengan sebanyak 59,000 tiket sudah dijual pasti mewujudkan suasana hebat yang mampu menggerunkan Thailand.

– BERNAMA


Pengarang :