AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah Selangor sasar RM82 juta kutipan bayaran balik pinjaman

SHAH ALAM, 30 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) tahun ini menyasar kutipan bayaran balik pinjaman perniagaan berjumlah RM82 juta melalui tujuh skim pembiayaan.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara menjelaskan kutipan itu meliputi pinjaman i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

“Tahun ini kita memfokuskan kepada peningkatan kutipan bayaran balik pinjaman dan pembiayaan berkualiti kerana usahawan memerlukan modal untuk berniaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memaklumkan kempen bayaran balik dan menang turut dilaksana bermula 1 Januari hingga 18 Disember ini sebagai pendekatan mencapai sasaran itu selain meneruskan kempen pemulihan kredit.

Menurut Mohd Ridhwan, usahawan yang aktif membuat bayaran balik layak menyertai kempen berkenaan secara automatik dan berpeluang memenangi hadiah misteri lebih RM20,000.

“Kita buka tawaran pelan pemulihan pembiayaan ini khusus kepada mereka yang ada masalah bayar balik. Sekurang-kurangnya mereka boleh bayar pinjaman ikut kemampuan.

“Insentif kepada kakitangan juga ditawarkan supaya mereka lebih bermotivasi untuk membuat kutipan,” katanya menambah seramai 39,492 usahawan aktif membayar balik pinjaman setakat ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim Hijrah ditambah baik secara berterusan termasuk memperuntuk RM130 juta untuk tawaran pembiayaan kepada usahawan.


Pengarang :