Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 30 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bercadang menganjurkan semula Karnival Sate 1,001 Rasa yang pernah menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR).
Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata penganjuran karnival itu bertujuan mengiktiraf juadah popular yang sinonim dengan Kajang sebagai produk dari Selangor.
“MPKj komited untuk memperkenalkan sate berasal dari Kajang menerusi penganjuran karnival terbabit seperti nasi ambeng yang dikenali berasal dari daerah Sepang.
“Menerusi pertemuan dengan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah, beliau memberi cadangan agar MPKj anjurkan karnival berkenan bagi mengiktiraf sate Kajang. Kita rancang ia akan diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung,” katanya dalam mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu hari ini.

Pada 27 November lalu, Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 anjuran Kerajaan Negeri menerima pengiktirafan MBOR atas kejayaan penganjuran fiesta hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia menerusi penyediaan 2,022 dulang hidangan.
Sebelum ini Kerajaan Negeri mewartakan nasi ambeng sebagai makanan tradisi dan warisan Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Pewartaan nasi ambeng sebagai identiti bagi mewakili salah satu makanan tradisi bertujuan memulihara dan mengekalkannya sebagai makanan warisan di negeri ini.