Penyokong skuad Harimau Malaya berteduh berikutan hujan lebat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi perlawanan bola sepak Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia menentang Singapura pada 3 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hujan tidak halang 55,000 penyokong banjiri Bukit Jalil untuk aksi Malaysia-Singapura

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Semangat penyokong Harimau Malaya jelas membara apabila lebih 55,000 tiket telah terjual bagi aksi terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di laman Facebook memaklumkan sebanyak 56,742 tiket berjaya disambar peminat bagi aksi ‘Derbi Seberang Tambak’ setakat jam 5 petang ini, sekali gus melepasi rekod kehadiran 29,961 penonton ketika Malaysia membelasah Laos 3-0 di gelanggang keramat tersebut, 24 Dis lalu.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun hujan lebat mulai jam 5 petang tadi, bahang perlawanan ‘hidup mati’ skuad kebangsaan semakin dirasai menjelang sepak mula jam 8.30 malam ini sehingga menyaksikan peminat bersesak untuk berteduh di ruang pejalan kaki sebelum memasuki stadium yang mula dibuka 4 jam petang.

Bagi pelajar universiti awam, Mohamad Syahin Masrizal, 20, beliau mengharapkan agar hujan bakal membawa rahmat kepada pasukan bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon untuk mengatasi Singapura dan seterusnya mara ke separuh akhir.

“Kalau ikut cuaca macam ini, permainan kedua-dua pasukan akan perlahan dan kurang rancak, tapi saya rasa Malaysia menang 2-0 dengan kedua-dua gol dijaringkan pemain sayap, Mohamad Faisal Abdul Halim,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam pada itu, eksekutif pemasaran, Ahmad Mustaqim Mustafa, 41, sanggup hadir terus ke stadium dari tempat kerja bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

“Saya tak sempat tukar baju, terus ke stadium, nasib baik tak hujan ketika dalam perjalanan tadi,” katanya.

Pekerja restoran, yang hanya mahu dikenali sebagai Arbi, 24, pula memanfaatkan cuti awal tahun untuk menonton Harimau Malaya buat kali kedua di sini, selepas berbuat demikian ketika pasukan negara menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas mengatasi Bangladesh, 4-1, dalam peringkat kelayakan Jun lepas.

“Kebetulan cuti hari ini, saya pun tanpa fikir panjang terus beli tiket semalam. Saya doakan Malaysia menang 2-1 menentang Singapura,” katanya.

Singapura, juara empat kali dan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir, kini mempunyai kelebihan satu mata di kedudukan kedua Kumpulan B manakala Malaysia ketiga dengan mengumpul enam mata.

Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan pendahulu Vietnam, melayan kunjungan Myanmar di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. – BERNAMA

 


Pengarang :