Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan awal kepada salah seorang mangsa kebakaran di Gombak. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Mangsa kebakaran di Gombak terima bantuan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 6 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan awal sebanyak RM500 kepada tiga keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Gombak, Isnin lalu.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS Datin Norajun Mohd Hashim berkata bantuan diberi pada Khamis itu bertujuan meringankan beban mangsa terlibat.

“Setakat ini mangsa yang terselamat ditempatkan sementara di Balai Raya Kampung Simpang Tiga sementara mendapatkan rumah sewa lain.

“Insya-Allah, LZS akan sedaya upaya membantu keluarga yang terjejas demi kelangsungan hidup mereka, kita harap sumbangan awal ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Isnin lalu, dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemukan rentung dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Simpang Tiga.

Ketika kejadian difahamkan ibu bapa mereka keluar makan. Mayat dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik utama kediaman berkenaan.

Kebakaran itu turut menjejaskan dua buah rumah berhampiran kawasan terbabit.


Pengarang :