Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Klang pada 30 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Mayat lelaki dalam guni putih ditemukan di tepi jalan di Klang

SHAH ALAM, 13 JAN: Mayat lelaki yang mulai mereput ditemukan dalam sebuah guni di tepi jalan sekitar Aman Perdana, Klang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata pihaknya menerima aduan satu mayat ditemukan orang awam di dalam guni putih di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, Aman Perdana, Klang jam 6.10 petang.

“Siasatan awal mendapati mayat dalam keadaan berbungkus di dalam guni putih dan keadaan mayat mulai mereput. Mayat itu tidak dapat dikenal pasti bangsanya.

“Keadaan mayat hanya memakai kain sarung biru tanpa baju dan dihantar ke Hospital Shah Alam bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP You Swee Leong menerusi nombor telefon 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara (03-32912222) atau mana-mana balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :