Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura pembiayaan Hijrah Selangor bernilai RM538,000 sempena program penyampaian Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) di Dewan Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Sungai Manggis, Kuala Langat pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Peluang kembang niaga, Hijrah tawar pinjaman untuk usahawan negeri lain

SHAH ALAM, 3 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan bantuan pinjaman kepada usahawan negeri lain yang mempunyai premis niaga bersempadan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif bermula tahun ini merupakan langkah berterusan membantu golongan usahawan selain hasrat menjadikan negeri ini mesra perniagaan.

“Tahun ini syarat pembiayaan dilonggarkan kepada peminjam yang mempunyai premis bersempadan Selangor seperti Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin berkata Hijrah yang bermula dengan Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero, Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI) sentiasa ditambah baik untuk membantu usahawan lebih maju.

“Kini telah berkembang kepada Skim i-Lestari, Skim i-Agro, Skim i-Bermusim dan yang paling baru iaitu Skim i-Sosial. Semoga inisiatif ini memberi kebaikan dan impak positif kepada warga negeri.

“Sepanjang ditubuhkan, Hijrah membantu seramai 55,834 usahawan melibatkan belanja RM710 juta. Bantuan merangkumi modal memulakan perniagaan sehinggalah membesarkan perusahaan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 25 November tahun lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.


Pengarang :