Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Orang ramai kagum reka bentuk Stadium Shah Alam, dekat dengan LRT

SHAH ALAM, 28 JAN: Orang ramai menyambut baik pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk stadium negeri selepas melihat dari dekat reka bentuknya yang dipamer di SACC Mall di sini.

Pekerja swasta Tengku Syukran Tengku Faris, 35, berkata dia tertarik reka bentuk stadium yang lebih berkonsep futuristik sesuai dengan perkembangan dan kemajuan teknologi.

Tengku Syukran Tengku Faris. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pelan KSSA moden dan setanding dengan stadium kelab besar di luar negara. Saya penyokong tegar Red Giant dan memang pergi ke stadium (Shah Alam) untuk menyaksikan perlawanan. Saya berpendapat struktur stadium itu memang perlu dirobohkan.

“Kalau tidak roboh sekalipun, banyak yang perlu dinaik taraf dan dibaiki. Saya lihat atap sudah rosak, bocor selain kena tambah banyak lagi kemudahan untuk keselesaan penonton,” katanya.

Pekerja insurans Mohd Amin Mohd Yusuf, 28, berkata pada mulanya dia tidak bersetuju dengan keputusan merobohkan stadium berusia 28 tahun itu namun pendiriannya berubah apabila melihat replika bangunan baharu.

“Saya anak jati Selangor. Memang Stadium Shah Alam jadi kebanggaan rakyat negeri ini, sebab itu saya tidak setuju dirobohkan. Banyak kenangan dan nilai sentimental dekat situ.

“Tetapi bila datang pameran ini, lihat pelan pembangunan stadium baharu, terus saya teruja. Tertarik dengan bentuknya yang lawa. Harap reka bentuk ini dikekalkan dan pembinaan dapat siap dengan cepat,” katanya.

Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu pelajar Ummul Fazira S Hassan, 21, berkata impiannya untuk melihat stadium itu lengkap dengan kemudahan Aliran Transit Ringan (LRT) akuirnya tercapai berikutan terdapat stesen berhampiran.

Ummul Fazira S Hassan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pertama kali saya datang ke stadium beberapa tahun lepas. Masa tu saya nak sangat ada kemudahan pengangkutan. Tak sangka lepas ini ada stesen LRT untuk mudahkan orang ramai datang.

“Saya harap lepas ini kawasan parkir dapat ditambah dan menyenangkan pengunjung. Kalau boleh tambah lagi beberapa kemudahan lain untuk kegunaan awam,” katanya.

Sejak kelmarin hingga 10 Februari depan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengadakan pameran awam pembangunan KSSA dari 10 pagi hingga 10 malam di SACC Mall.

MBI turut mengalu-alukan orang ramai memberi maklum balas yang boleh dikongsi melalui e-mel [email protected] .

Pada 5 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula KSSA termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini


Pengarang :