Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama peserta Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Pembangunan semula kompleks sukan Shah Alam bermula suku pertama tahun ini

PETALING JAYA, 5 JAN: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menunggu proses kebenaran merancang (KM) sebelum pembangunan semula kemudahan itu dilaksanakan.

“Kita sudah mesyuarat banyak kali. Semuanya hampir lengkap, cuma tinggal proses untuk KM dan kita akan muktamadkan kos sebenar,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor di sini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga tidak akan melakukan pertukaran tanah di kawasan stadium.

“Kita tidak akan melakukan land swapping (pertukaran tanah) di kawasan stadium. Kawasan stadium kekal sebagai stadium, fasiliti awam dan aktiviti sukan.

“Proses pertukaran tanah kita adalah di tanah lain yang kita sedang usahakan dengan pihak pemaju,” katanya.

Reka bentuk konsep awal yang dibentangkan ketika taklimat perkembangan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di sebuah hotel pada 30 September 2022. Foto BERNAMA

Pada 15 Julai lalu, Amirudin berkata projek itu dijangka siap seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad yang akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.

Menurutnya, baik pulih bangunan dan kemudahan lain di stadium terbabit antaranya meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak bah berulang selain menukar sistem pendawaian elektrik.

Selain itu ia meliputi penukaran struktur bumbung selain pembaikan padang serta sistem perpaipan.

Stadium terbabit juga bakal mempunyai tiga jenis padang yang boleh dialih mengikut kesesuaian aktiviti iaitu padang rumput, padang sintetik dan penggunaan lantai konkrit.


Pengarang :