Foto Facebook MPHuluSelangor
PBTSELANGOR

Pengusaha tapak perkhemahan di Hulu Selangor dikompaun atas pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan 25 kompaun terhadap pengusaha tapak perkhemahan sekitar daerah itu selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata pengusaha menjalankan perniagaan jangka panjang, tiada kebenaran merancang (KM), pelan bangunan dan lesen.

Katanya tindakan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007 bagi memastikan pengusaha mengambil serius syarat pembangunan serta tampil memberi kerjasama.

“Bagaimanapun kompaun-kompaun tersebut boleh dikenakan bayaran maksimum RM1,000 sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah tindakan tegas dibuat bagi mengambil iktibar tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali baru-baru ini.

“Faktor cuaca buruk kebelakangan ini boleh meningkatkan risiko kejadian tidak diingini.

“Keadaan ini menjadi faktor utama pihak MPHS mengambil tindakan proaktif ke atas kawasan-kawasan rekreasi dan pelancongan di daerah Hulu Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hasry berkata satu operasi pemantauan dilaksanakan terhadap 46 premis pelancongan yang beroperasi tanpa kebenaran pada Khamis dan Jumaat lalu.

“Ia bagi mengumpul data dan persediaan bengkel penyediaan panduan pengurusan perniagaan tapak perkhemahan Selangor yang berlangsung 29 (hari ini) hingga 31 Januari ini,” katanya lagi.

Kelmarin, kira-kira 60 pengusaha tapak perkhemahan sekitar Hulu Selangor kesal apabila pihak berkuasa tempatan itu mengambil tindakan saman tanpa notis sejak beberapa hari lalu.


Pengarang :