AGENDANASIONAL

Permohonan Geran Perpaduan ‘Kita Selangor’ dibuka hingga 20 Januari

SHAH ALAM, 10 JAN: Agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat melaksanakan program, kempen serta aktiviti berkaitan perpaduan berpeluang memperoleh geran daripada Kerajaan Negeri sehingga RM20,000.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata permohonan Geran Perpaduan ‘Kita Selangor’ dibuka mulai semalam hingga 20 Januari membabitkan dana keseluruhan RM250,000.

EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berucap di Selangor Health Partnership Program (Selhep) 2022 pada 24 November 2022 di Ispace Plaza VADS, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Geran ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan bagi memperkukuhkan mesej perpaduan melalui program, penyelidikan dan insiatif sekali atau berkala melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang serta kaum.

“Jumlah geran yang boleh dimohon ialah antara RM10,000 hingga RM20,000 sahaja untuk setiap permohonan, bergantung kepada kelulusan oleh Jawatankuasa Penilai Geran,” katanya di Facebook hari ini.

Dr Siti Mariah berkata borang permohonan boleh diperoleh di pautan bit.ly/Permohonan-Geran-Perpaduan-Kita-Selangor dan sebarang pertanyaan berkaitan geran boleh diajukan melalui emel di [email protected]

“Agensi, persatuan dan NGO dijemput memohon dengan menghantar kertas cadangan bagi menjalankan program berkaitan perpaduan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi menyemarak dan meneruskan program mengukuhkan perpaduan di Selangor antaranya termasuk Duta Perpaduan Selangor (DPS) dan Geran Perpaduan ‘Kita Selangor’.


Pengarang :