Skuad hoki lelaki negara menjalani latihan fasa terakhir sebelum menyertai Kejohanan Piala Dunia 2023 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 12 Disember 2022. Kejohanan Piala Dunia 2023 berlangsung mulai 13 hingga 29 Januari di Rourkela, India. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Piala Dunia: Skuad hoki negara atasi Chile, raih kemenangan sulung

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Skuad lelaki kebangsaan terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum menang tipis ke atas Chile 3-2, pada perlawanan kedua Kumpulan C kejohanan hoki Piala Dunia di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India, hari ini.

Biarpun membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia, Chile tetap memberi tentangan sengit sehingga menyaksikan Speedy Tigers, bergelut menyaingi pasukan bimbingan Jorge Dabanch terutamanya pada separuh masa pertama, sebelum penyerang Norsyafiq Sumantri muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-41.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-11 dunia, terlebih dahulu menguji gawang Chile menerusi pukulan Muhammad Firhan Ashaari yang melambung tinggi pada minit kedua, sebelum Juan Amoroso mengejutkan pasukan bimbingan A Arul Selvaraj apabila membuka jaringan pasukan ke-22 dunia itu pada minit ke-19, menerusi pukulan sudut penalti.

Walaupun tonggak pertahanan negara, Muhammad Razie Abd Rahim menyamakan jaringan melalui pukulan penalti pada minit ke-25, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Martin Rodriguez kembali meletakkan Chile di hadapan menerusi satu serangan balas, dengan melepaskan pukulan kencang pada minit ke-28.

Malaysia tampil lebih agresif sebaik babak kedua bersambung kembali menyamakan kedudukan selepas pemain tengah Mohamad Ashran Hamsani menjaringkan gol padang pada minit ke-40 dan pantas mengesahkan tiga mata, menerusi ledakan Norsyafiq yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, selang seminit kemudian.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj berkata kemenangan sulung dilakar anak buahnya pada kempen kali ini, penting dalam menyalakan impian mereka ke peringkat seterusnya selepas tumbang 0-4 di tangan juara tiga kali, Belanda pada aksi pembukaan, Sabtu lepas.

Beliau juga memuji usaha para pemain, yang tetap menampilkan disiplin serta komitmen tinggi untuk bangkit menumpaskan Chile, selain mahu mengkaji semula taktik digunakan dalam pukulan sudut penalti, selepas hanya mampu memanfaatkan satu daripada keseluruhan 13 peluang dimiliki ke dalam gawang lawan.

“Petang ini, kami akan buat pemulihan dan menganalisa perlawanan tadi sedikit sebelum berehat. Pagi esok kami akan bertolak ke Bhubaneswar dan jalani sesi latihan serta putuskan taktik bermain menentang New Zealand,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia dijadual membuat perhitungan terakhir kumpulan menentang New Zealand yang juga pasukan nombor sembilan dunia di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, Khamis ini.

Belanda kekal memimpin carta Kumpulan C dengan enam mata selepas menang bergaya 4-0 ke atas New Zealand, dalam satu lagi aksi hari ini.

New Zealand yang mengumpul tiga mata kini berada di tempat kedua diikuti Malaysia di tempat ketiga juga dengan tiga mata, manakala Chile di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati, untuk slot ke suku akhir.

– BERNAMA


Pengarang :