Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua, kanan) menunjukkan sebahagian daripada 453 ketulan ganja mampat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Suami isteri antara ditahan, 451 kilogram ganja bernilai lebih RM1 juta dirampas

GEORGE TOWN, 16 JAN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan suami isteri bersama seorang lelaki dan merampas 451 kilogram ganja bernilai RM1.13 juta dalam dua serbuan di Penaga, Kepala Batas dekat sini 13 Januari lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melancarkan operasi terancang dengan menyerbu sebuah rumah di Jalan Bendahara, Penaga pada 7.30 malam.

“Semasa serbuan itu, terdapat seorang lelaki yang berada di atas sebuah motosikal di hadapan rumah tersebut dan pemeriksaan ke atas suspek yang merupakan bekas anggota polis itu menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 10.2 kg bernilai RM25,000.

“Polis kemudian membuat pemeriksaan di rumahnya sebelum menahan isteri lelaki itu yang bekerja kilang dan merampas 443 ketulan ganja seberat 441kg bernilai RM1.1 juta di situ. Pasangan itu masing-masing berusia 33 tahun dan semasa serbuan hanya terdapat mereka berdua sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya susulan penahanan pasangan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah juga di kawasan Penaga, iaitu lima minit dari kediaman pertama dan menahan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang merupakan ahli perniagaan.

Mohd Shuhaily berkata tiada sebarang rampasan dadah bersama lelaki itu tetapi polis merampas wang tunai RM37,000 bersamanya dan pihaknya percaya dia merupakan dalang utama sindiket pengedaran dadah yang turut mempunyai rangkaian di luar negara.

Katanya siasatan juga mendapati mereka mendapatkan bekalan ganja itu dari rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara jiran dipercayai Thailand dan menyeludup masuk ke sini dengan menggunakan jalan laut.

“Sindiket berkenaan menjadikan rumah pasangan itu sebagai tempat menyimpan stok ganja tersebut sebelum mereka mengedarkannya untuk pasaran tempatan, kediaman mereka tidak jauh dengan kawasan laut,” katanya.

Beliau berkata bekas anggota polis berpangkat koperal itu bertugas di Marang, Terengganu sebelum ini dan dia yang berkhidmat selama 11 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah.

Menurutnya sindiket itu dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal 2022 dan susulan penahanan mereka polis menyita tiga kereta dan dua motosikal yang bernilai RM416,500.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek bekas anggota polis positif dadah dan mempunyai rekod lampau juga berkaitan dadah. Semua tiga individu itu kini direman sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :