Program Duta PUTRA Pemakanan Komuniti (PUTRACNAP) di Kampung Datuk Keramat pada 15 Januari 2023. Foto Facebook Jabatan Perpaduan Negara Kuala Lumpur
AGENDANASIONAL

UPM, Nestle jalin kerjasama atasi malnutrisi kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Usaha menangani isu kekurangan makanan seimbang atau malnutrisi bagi kanak-kanak terus menjadi tumpuan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Nestle Malaysia dengan menganjurkan Program Duta PUTRA Pemakanan Komuniti (PUTRACNAP) di Kampung Datuk Keramat.

Program yang disertai oleh 63 pasangan ibu dan anak dari 11 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) itu bertujuan meningkatkan kepekaan komuniti di kawasan perumahan berkenaan terhadap kepentingan makanan seimbang susulan peningkatan kes malnutrisi di Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athira Sabu ketika merasmikan program itu berkata terdapat 70 peratus kanak-kanak di empat negara Asia Tenggara termasuk Malaysia berhadapan isu malnutrisi khususnya kalsium dan vitamin D.

“Peningkatan ini melibatkan kanak-kanak di kawasan bandar yang kebanyakan mereka menunjukkan kenaikan berat badan berlebihan,” katanya ketika berucap pada Karnival Kesihatan Pemakanan Komuniti ‘Dari Kebun ke Meja Makan’ di sini hari ini.

Aiman Athira berkata program lima bulan termasuk mewujudkan kebun komuniti bagi menangani isu kekurangan zat makanan itu telah memberi impak positif kepada komuniti dengan memahami kepentingan pengambilan pemakanan seimbang.

Timbalan Dekan Siswazah, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Profesor Dr Cheah Yoke Kqueen berkata program kerjasama melibatkan komuniti serta industri itu ialah inisiatif secara langsung untuk mempromosikan kaedah pelaksanaan program ‘Dari Kebun Ke Meja Makan’.

– BERNAMA


Pengarang :