Sebahagian penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
AGENDANASIONAL

DUN Sungai Kandis terima hampir 100 permohonan baru skim warga emas setiap hari

SHAH ALAM, 7 FEB: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima hampir 100 permohonan baharu Skim Mesra Usia Emas (SMUE) setiap hari.

Pegawai Khas kepada wakil rakyat Sungai Kandis, Mohamad Shahfiq Mohd Sufian berkata skim itu menerima sambutan menggalakkan sejak ia mula diwar-warkan kepada rakyat Selangor.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, kita jangka lebih ramai lagi akan tampil untuk memohon.

“Baucar Jom Shopping ini kita sudah edarkan sejak Januari. Mereka datang dan kita bagi secara terus kepada yang layak,” katanya kepada Selangorkini.

Mohamad Shahfiq Mohd Sufian. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu Mohamad Shahfiq mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di perkarangan Masjid Al Bakri Kampung Bukit Naga di sini hari ini.

Mohamad Shahfiq berkata setakat ini lebih 200 penerima baharu dan lama sudah menerima baucar masing-masing.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan syarat had kelayakan pendapatan isi rumah bagi penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 sebulan kepada RM3,000 sebulan mulai 2023.

Penerima juga bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun, berbanding RM100 tahun lalu, serta khairat kematian RM500.


Pengarang :