Pemohon Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) menggunakan kemudahan Kiosk MyOnline Passport yang disediakan Jabatan Imigresen Selangor selepas perasmiannya di Pejabat Imigresen UTC Selangor, di Anggerik Mall, Shah Alam pada 15 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Imigresen tambah hari kerja atasi isu pasport, tumpu pejabat alami kesesakan

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Jabatan Imigresen mengambil beberapa langkah proaktif bagi mengatasi isu kesesakan serius urusan pasport termasuk menambah bilangan hari bekerja iaitu pada Sabtu dan Ahad khususnya di pejabat pengeluar pasport yang mengalami kesesakan ketara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat 20 pejabat yang berdepan kesesakan tinggi iaitu sembilan di Wilayah Persekutuan dan Selangor, Johor (lima), Perak (tiga) dan masing-masing satu di Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata RM10 juta diperuntukkan bagi bayaran lebihan masa bekerja.

“Sehingga hari ini kita sudah keluarkan hampir 2.5 juta pasport dan daripada jumlah ini, 45 peratus adalah permohonan dalam talian.

“Bagaimanapun pasport yang dimohon menerusi dalam talian ini akan ambil masa beberapa hari untuk disiapkan, manakala untuk permohonan ‘walk-in’ (jumpa terus) akan siap dalam tempoh satu hari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen, serta cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan pasport secara ‘walk-in’.

Beliau berkata selepas ancaman Covid-19 semakin reda, kadar permohonan pasport dalam kalangan rakyat adalah tinggi sehingga mengakibatkan kesesakan di pejabat pengeluar pasport terutamanya di Lembah Klang.

Sementara itu, beliau turut mengakui terdapat kesesakan di kaunter imigresen di pintu masuk utama negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kementerian sedang merangka langkah bagi menyelesaikan masalah itu.

Bagi penyelesaian segera, Saifuddin mengumumkan pagar automatik di KLIA yang sebelum ini hanya dibuka untuk rakyat Malaysia akan dibuka kepada warganegara asing terutama yang datang dari negara berisiko rendah seperti Singapura dan Brunei.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Naw (PN-Tumpat) mengenai sama ada kerajaan sedar kesesakan di kaunter imigresen di pintu masuk utama sehingga boleh memakan masa sehingga tiga jam untuk cap pasport.

– BERNAMA


Pengarang :