Kakitangan LUAS melakukan pensampelan air di Sungai Gong pada 1 Februari 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

LUAS kesan air keruh di Sungai Gong, tiada loji henti tugas

SHAH ALAM, 1 FEB: Tiada gangguan pada mana-mana Loji Rawatan Air (LRA) yang berada di hiliran aliran Sungai Gong berikutan penemuan kekeruhan air sungai berkenaan petang tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan siasatan segera dilakukan mendapati, aliran kekeruhan berkenaan berpunca daripada tapak pembangunan yang sedang giat melaksanakan aktiviti kerja tanah.

Susulan itu, LUAS melakukan pensampelan bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan Seksyen 59 dan 79 Enakmen LUAS 1999.

“LUAS juga akan terus membuat pemeriksaan di kawasan sekitar bagi mengenal pasti punca aliran air berwarna hitam yang turut dikesan di dalam Sg. Gong.

“Permasalahan kualiti yang ditemui ini masih terkawal dan penyelesaian sedang diusahakan menyeluruh dengan seberapa segera,” maklum kenyataan menerusi Facebook.

Dalam pada itu, LUAS juga memaklumkan pihaknya sentiasa siap siaga pemantauan 24 jam di lembangan Sg. Selangor.

 


Pengarang :