SUBANG JAYA, 4 FEB: Pencarian Gadis Inspirasi Negeri Selangor (Gadis) berakhir apabila model sambilan Norzawani Zakiah Khairul Zaki dinobatkan sebagai juara program tersebut.
Berlangsung di Hotel Grand Dorsett Subang, Norzawani Zakiah, 26, membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil beserta trofi yang disampaikan EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud.
Dr Mariah turut menyampaikan hadiah kepada pengacara hiburan, Nur Idayu Azizi Aziz, 31, yang mendapat tempat kedua membawa hadiah wang RM3,000 manakala pelajar jurusan undang-undang, University of London, Stella Leong Sin Yin, 24, pula di tempat ketiga menerima wang tunai RM1,000.

Menerusi program anjuran Wanita Berdaya Selangor, Nurhusna Hussin pula menerima Anugerah Konten Terbaik, manakala Azhara Jahangeer Khan mendapat diberikan Anugerah Paparan Terbanyak dengan 331,047 penonton serta Maryam Mohd Jamadi pula mendapat Anugerah Media Sosial Terbaik.
Anugerah tersebut disampaikan Pengarah Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Rozeeta Ramli.
Manakala Anugerah Peserta Bengkel Terbaik pula diberikan kepada Rahayu Omar yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Strategi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Raja Nor Izah Raja Jaafar.

Program Pencarian Gadis berlangsung pada 27 hingga 29 Januari lalu bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi wanita muda, menyediakan saluran bagi mengetengahkan diri di khalayak umum selain meningkatkan pembangunan dan kemapanan diri serta daya saing.
Syarat penyertaan ialah wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, lahir dan bermastautin di Selangor serta memiliki pengikut di pelbagai media sosial dengan jumlah minimum 5,000 orang.
