Pengujung mendengar penerangan kakitangan Bermaz Auto Berhad berkaitan penyelengaraan kenderaan elektrik ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri pasang lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik tahun ini

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 4 FEB: Kerajaan Negeri akan memasang lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di lokasi tumpuan umum seperti pusat beli-belah dan parkir awam tahun ini.

EXCO alam sekitar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah melaksanakan usaha itu selain beberapa syarikat swasta yang berminat akan dipilih berdasar kemampuan dalam membangun dan meneroka bidang ini.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian di program sambutan Hari Alam Sekitar 2022 peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Menara MPAJ, Pandan Indah pada 3 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kita akan bekerjasama dengan syarikat swasta. Kita sediakan ruang dan mereka pasang. Macam mana nak dapat pulangan, mereka kena bincang dengan PBT berapa harga yang perlu dikenakan,” kata Hee Loy Sian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ malam tadi.

Jelas beliau pada masa akan datang setiap pembangunan terutama komersial akan disyaratkan memasang pengecas EV di tempat letak kereta begitu juga dalam kawasan kondominium.

“Pengecas kenderaan elektrik ini satu keperluan… dijangka Proton serta syarikat pemasangan kenderaan di Malaysia akan pasang kenderaan elektrik dan harganya sangat berpatutan.

“Syarikat luar juga telah mula jual kenderaan elektrik di sini dan kita memang menggalakkan kerana penggunaan kenderaan elektrik ini mesra alam. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada petrol,” katanya.

Loy Sian menambah walaupun harga permulaan bagi sebuah kenderaan elektrik sangat tinggi tetapi pulangan jangka masa panjangnya akan menjimatkan pengguna.

“Kalau ikut kajian kenderaan elektrik yang dicas 100 peratus boleh jalan sehingga 500 kilometer dan harga pengecasan lebih kurang RM20 hingga RM30 berbanding harga petrol antara RM100 hingga RM120.

“Bezanya sangat ketara tetapi kenderaan elektrik perlu masa untuk cas antara tiga hingga empat jam,” katanya.

Pada 7 Julai tahun lalu, Loy Sian berkata Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan 10,000 stesen EV di tempat awam menjelang 2025 dengan kerjasama PBT dan swasta bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan elektrik sekali gus membantu mengurangkan pembebasan karbon.


Pengarang :