Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Perluas Skim Smart Sewa, bantu lebih ramai rakyat miliki kediaman sendiri

GOMBAK, 25 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas Skim Smart Sewa bagi membantu lebih ramai rakyat miliki kediaman sendiri.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan bertemu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya akan bincang dengan KPKT untuk menilai semula perumahan mereka di sini (Selangor) supaya Skim Smart Sewa boleh kita lanjutkan dan dikembangkan di perumahan kos rendah yang lain.

“Setakat ini untuk program Smart Sewa kita ada 1,000 rumah meliputi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pelbagai rumah yang kita telah perolehi daripada pemaju.

“Secara keseluruhannya 80 peratus (kediaman) telah dipenuhi. Maknanya ada 800 keluarga sekarang telah mengikuti program Smart Sewa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, di sini hari ini.

Amirudin berkata skim berkenaan mempunyai prestasi baik termasuk daripada aspek kutipan sewa yang mencecah sehingga 95 peratus walaupun ketika pandemik.

“Ketika pandemik kita mengutip hampir 90 hingga 95 peratus (bayaran sewa) dan (bagi) rumah pangsapuri kutipan sewa ini disekalikan dengan yuran penyelenggaraan,” katanya.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.

Tempoh sewaan minima selama dua tahun akan diberikan pemulangan sewaan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dan tempoh maksima sewaan adalah lima tahun.


Pengarang :