Aksi skuad Harimau Malaya ketika menentang skuad Gajah Perang pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Bukit Jalil pada 7 Januari 2023. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Piala AFF terlalu panjang, sukar berlangsung dalam kalendar FIFA

PETALING JAYA, 7 FEB: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin membayangkan sukar untuk Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berlangsung dalam Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada masa terdekat.

Hamidin yang juga Ahli Majlis AFF berkata antara kekangannya ialah tempoh penganjuran Piala AFF terlalu panjang yang memakan masa sebulan menyebabkan tiada ruang untuk kejohanan bola sepak dwitahunan itu berlangsung dalam Kalendar FIFA.

Beliau yang baharu dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh direalisasikan sekiranya FIFA “memanjangkan” kalendar perlawanan antarabangsa.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin. Foto BERNAMA

“Kita perlu faham Kalendar FIFA bukan spesifik untuk Piala AFF, mungkin kita boleh minta FIFA berikan lebih lagi (kalendar perlawanan) dan perlu ingat Kalendar FIFA bukan hanya untuk Malaysia saja tetapi kepada 211 ahli gabungan.

“Tempoh Piala AFF juga panjang, macam mana ia boleh diisi dalam kalendar sedangkan akan datang ada pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia pada Oktober…kalau ia dipanjangkan mungkin sesetengah negara juga tidak akan gembira jika terlalu banyak Kalendar FIFA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis kesyukuran sempena dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini hari ini.

Persoalan Piala AFF bakal mendapat tempat dalam Kalendar FIFA timbul selepas Presiden FIFA Gianni Infantino berkongsi pandangan Piala AFF wajar berada dalam kalendar FIFA, seperti dilaporkan media antarabangsa bulan lepas.

Sejak dianjurkan, Piala AFF menjadi kejohanan yang menawarkan mata ranking bermula edisi 2016, namun sehingga kini, ia masih belum berada dalam Kalendar FIFA menyebabkan banyak kelab di rantau ini “berkira-kira” untuk melepaskan pemain masing-masing bagi mewakili pasukan negara mereka.

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan bersama penyokong selepas menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Januari 2023. Foto BERNAMA

Sementara itu, Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM berkata skuad Harimau Malaya perlu berada dalam kelompok 25 terbaik Asia menjelang kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 hujung tahun ini.

“Ia adalah tahun yang penting…pasukan di luar kedudukan 25 terbaik Asia akan memulakan kempen (pusingan kelayakan) pada Oktober manakala 25 pasukan teratas pada November. Kami perlu rancang aksi persahabatan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata perancangan aksi persahabatan melibatkan skuad kebangsaan akan diumumkan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin percaya Malaysia sekali lagi berpeluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selepas berjaya menganjurkan Piala Dunia Belia Bawah 20 Tahun (B-20) 1997, namun perlu menyusun dan menganjurkan menerusi kerjasama serta sokongan daripada kerajaan kerana kos yang agak tinggi. – BERNAMA


Pengarang :