Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraikan kemenangan selepas meraih pingat emas dalam acara 100m T36 di Paralimpik Rio, Brazil pada 10 September 2016. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Dek Wan juarai Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membuktikan masih memiliki kepantasan apabila berjaya merangkul emas acara 100 meter (m) T35/36 (kecacatan fizikal) pada Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia, semalam.

Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dipanggil “Dek Wan” merekodkan masa 12.51 saat (s) untuk meninggalkan pesaing terdekat Abdulsattar Challoob dari Iraq yang membawa pulang perak dengan catatan 13.04s dalam kejohanan berlangsung di di Stadium Olahraga Rades, Tunis.

Pelari dari Maghribi, Anass Sikouk pula meraih gangsa dengan catatan 13.69s.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, berjaya merangkul perak bagi acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat 11.67s.

Muhamad Afiq gagal menandingi kehebatan wakil Uzbekistan, Mansur Abdirashidov yang membawa pulang emas menerusi catatan 11.28s manakala gangsa milik Mohammed Ayade dari Iraq dengan 12.09s.

Kejohanan yang bermula semalam akan berakhir esok.

– BERNAMA


Pengarang :