Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub (tiga, kanan) bersama pemilik Samballana Bistro Muhammad Akmal (dua, kiri), 24, dan Suhana Mohd Esa (kanan), 48, menunjukkan Menu Rahmah berharga RM5 beserta air yang dijual di Samballana Bistro Bandar Dato’ Onn pada 4 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Menu Rahmah di 20 IPTA dijangka selepas Aidilfitri

JOHOR BAHRU, 4 FEB: Program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dijangka akan dilaksanakan selepas Aidilfitri, kata menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN).

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata program dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu pada peringkat awal akan dilaksanakan di 20 IPTA di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata program itu akan diselaraskan oleh kedua-dua kementerian dan satu perbincangan juga telah dibuat dengan Menteri KPT Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Perkara ini saya telah bincang dan menghubungi sendiri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beliau sangat bersetuju untuk bersama-sama laksana program ini.

“Dari segi menyediakan tempat, itu adalah di bawah bidang kuasa KPT dan menu pula adalah di bawah KPDN, jadi dengan kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk menyelaras, saya rasa ia boleh dilaksana selepas segala perancangan dibuat iaitu selepas Aidilfitri,“ katanya pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi.

Salahuddin berkata program itu juga dijangka akan terus diperluas melibatkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai rangkaian minuman popular yang menggunakan nama Menu Rahmah terhadap produk mereka dan adakah ia dilihat seperti memanipulasi untuk tujuan promosi, Salahuddin berkata beliau tidak menganggap ia sebagai manipulasi sebaliknya menjelaskan semua pihak dialu-alukan untuk menyahut inisiatif kerajaan itu.

“Saya di peringkat ini tidak menganggap ia sebagai manipulasi, dengan air yang diletak nama Menu Rahmah, selagi mereka berkompromi dengan kualiti dan cita rasa, kita amat mengalu-alukan,” katanya.

Salahuddin pada masa sama berkata pihaknya akan mengadakan satu sesi libat urus bersama rangkaian restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s pada minggu hadapan bagi pelaksanaan Program Menu Rahmah.

“Kami juga akan buat libat urus dengan Persatuan Kedai Makanan Kaum Cina yang turut berminat dan bersedia untuk sertai program ini, jadi kami harap dengan libat urus yang dilakukan, program ini dapat terus diperluas,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Pulai itu memuji Samballana Bistro yang menyahut inisiatif dengan menyediakan set Chicken Chop dan minuman mangga pudina berharga RM5.

“Ini akan membolehkan golongan berpendapatan rendah sekitar Bandar Dato Onn dan Johor Bahru mendapatkan hidangan Menu Rahmah di kawasan itu.

“Semalam saya terharu apabila seorang ibu di Ipoh, Perak, sanggup meredah hujan dengan menaiki motosikal membawa anaknya bagi mencari hidangan Menu Rahmah.

“Ia sesungguhnya memberi motivasi kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan program Menu Rahmah dilancarkan di lebih banyak lokasi bagi memberi kemudahan kepada golongan memerlukan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :