AMPANG JAYA, 4 FEB: Kerajaan Selangor mempromosikan Jualan Rahmah pada Jualan Ehsan Rakyat supaya lebih ramai rakyat kurang berkemampuan menikmati manfaat itu.
EXCO pemodenan pertanian berkata inisiatif diperkenal kerajaan perpaduan dilihat seiring dengan matlamat penganjuran jualan murah berkenaan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan susulan kenaikan harga barangan.

“Kita akan promosikan (Jualan Rahmah) namun Jelajah Ehsan Rakyat berjalan seperti biasa memandangkan sasaran kedua-dua program berbeza, tetapi semua itu sangat dialu-alukan,” kata Ir Izham Hashim.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Dalam program jualan di Dewan Komuniti Taman Nirwana di sini, Menu Rahmah berharga RM5 turut ditawar kepada pengunjung.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 yang berlangsung ketika ini bakal diselaras bersama Jualan Rahmah bagi meringankan beban belanja lebih ramai penduduk.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi perancangan itu, lokasi jualan murah barangan keperluan akan bertambah sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan.
Program Jualan Rahmah digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah.
Sementara Jelajah Ehsan Rakyat merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi PKPS selama tiga bulan bermula 16 Januari bagi meringankan beban belanja penduduk.