Wakil media mengambil gambar sistem perparitan yang telah dinaik taraf bagi tujuan tebatan banjir di kawasan Padang Jawa, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Projek tebatan banjir di Selangor antara enam ditender semula

SHAH ALAM, 24 FEB: Enam projek tebatan banjir ditender semula dengan segera selewatnya pada Jun 2023, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek tersebut melibatkan:
– Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor
– Pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor.
– Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok fasa 3, Kelantan

“Bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamatnya, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

“Negara dijangka mampu jimat RM2 bilion daripada RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini. Lantaran itu, pelaksanaan perolehan mesti dibuat secara tender,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata kelulusan projek tebatan banjir dibuat dengan teliti bagi mengelak pembaziran wang rakyat.

“Saya telah tegaskan perolehan rundingan terus yang dibuat dengan tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat terutama berkait soal tebatan banjir.

“Keterlanjuran lalu yang secara gopoh meluluskan projek tebatan banjir telah dibatalkan dan kini dalam siasatan serta tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.

 


Pengarang :