Keadaan kawasan perumahan yang masih dipenuhi air ketika tinjauan Media Selangor di Taman Universiti, Sri Gading, Johor pada 10 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bah di Johor, seramai 42,638 mangsa masih berlindung di PPS takat pagi ini

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat negeri adalah seramai 43,136 orang setakat pagi ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 42,638 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 42,770 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan seramai 12,049 keluarga masih ditempatkan di 155 PPS yang beroperasi di empat daerah yang terjejas akibat bencana itu.

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 39,870 orang, Muar dengan 1,457 mangsa; Tangkak (949 mangsa); dan Segamat pula dengan 362 orang,” menurut jawatankuasa itu.

Sebanyak empat sungai di Batu Pahat masih melepasi aras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok yang kini berada pada paras 19.57 meter (m); Sungai Senggarang di Senggarang dengan bacaan 3.59 m; Sungai Simpang Kiri di Sri Medan pula mencatatkan bacaan 2.43 m; dan Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong 2.03 m; manakala Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) berada pada paras 3.96 m.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun lagi kepada 238 orang daripada 55 keluarga pagi ini berbanding 259 orang daripada 61 keluarga pada 8 malam tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan hari ini melaporkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat membabitkan sembilan mangsa daripada satu keluarga.

“Sebanyak 100 mangsa daripada 23 keluarga pula ditempatkan di SK Parit Penghulu, 19 mangsa daripada tujuh keluarga di SK Parit Gantong, 99 mangsa daripada 22 keluarga di SK Batu Gajah dan 11 mangsa daripada dua keluarga di SK Sungai Rambai,” menurut kenyataan itu.

Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini tidak berubah dari malam tadi, iaitu 169 orang di dua PPS di Rompin.

PPS SK Kampung Aur menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga manakala 107 mangsa daripada 35 keluarga berada di PPS SK Leban Chondong.

Di SARAWAK, sejumlah dua PPS dibuka melibatkan kawasan Kuching yang menempatkan 91 mangsa daripada 18 keluarga.

Menurut laporan Sekretariat JPBN Sarawak, dua PPS berkenaan ialah Dewan Sinaran Lumut dan Dewan Kampung Sungai Bedaun dengan masing-masing mula beroperasi pada 6 petang semalam dan 8 malam tadi.

— BERNAMA

 


Pengarang :