Sukarelawan giat melakukan pembersihan kerusi pesakit serta lain-lain peralatan yang bersalut lumpur di Klinik Kesihatan Chaah yang ditenggelami banjir ketika tinjauan di daerah ini pada 6 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Batu Pahat masih terjejas banjir, Segamat, Kota Tinggi, Pontian kembali pulih

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Keadaan banjir di Maran, Pahang dan sebahagian daerah di Johor pulih sepenuhnya setakat petang ini.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan daerah Segamat, Kota Tinggi dan Pontian kembali pulih dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

JPBN memaklumkan bagaimanapun, terdapat pertambahan mangsa di daerah Batu Pahat yang mengalami kenaikan air susulan pertembungan limpahan air sungai dari Segamat dan air pasang.

Menurut JPBN, Batu Pahat masih lagi menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 29,341 orang, diikuti Muar 4,123 orang dan Tangkak 2,536 orang.

Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir sedikit meningkat kepada 41,543 orang yang ditempatkan di 198 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 2 petang berbanding 40,141 orang di 202 PPS yang direkodkan pagi tadi.

Sebanyak 11 sungai masih melepasi paras bahaya antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 20.09 meter (m); Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) 9.53 m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Segamat) 5.23 m.

Di Pahang, JPBN melaporkan sebuah PPS yang menempatkan 13 mangsa banjir di Maran telah ditutup, menjadikan hanya daerah Rompin yang dilanda banjir dengan 15 PPS masih beroperasi bagi menempatkan 2,255 mangsa petang ini.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya petang ini.

Sementara itu, di Melaka, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Jasin kekal 598 orang daripada 159 keluarga dan ditempatkan di lima PPS setakat 2 petang tadi.

– BERNAMA


Pengarang :