AGENDAJENAYAH

Dadah bernilai RM10.8 juta dirampas, tujuh individu termasuk wanita ditahan

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang dengan rampasan dadah dianggarkan RM10.8 juta dalam lima serbuan berasingan di Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata serbuan itu membawa kepada penahanan tujuh lelaki termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ dan seorang wanita berusia 27 hingga 61 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan bermula jam 11 pagi hingga 2 petang itu, polis merampas 300 kilogram (kg) syabu dan dua kg pil Ecstasy yang ditemui dalam dua kenderaan yang diletakkan di sebuah pasar raya, di sini.

“Polis juga menyita tujuh kenderaan dianggarkan bernilai RM456,000, barangan kemas (RM17,566) dan wang tunai RM8,400 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM11.2 juta.

“Modus operandi sindiket itu adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari utara tanah air untuk pasaran Lembah Klang dan negara jiran dengan menggunakan kenderaan yang diubah suai untuk membawa dadah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya berkata hasil ujian saringan awal polis terhadap suspek mendapati enam daripada mereka positif methamphetamine dan semakan rekod kesalahan lampau turut mendapati enam daripadanya mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lepas hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Polis Kuala Lumpur khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus berusaha mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :