Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat memberi kurma kepada umat Islam di bazar Ramadan Taman Bersatu Rawang pada 30 Mac 2023. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

DUN Rawang peruntuk RM50,000 anjur aktiviti, sumbangan Ramadan

SHAH ALAM, 31 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang memperuntuk RM50,000 bagi menganjurkan pelbagai aktiviti dan sumbangan sepanjang Ramadan ini.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata daripada jumlah itu RM34,000 disumbang kepada lima masjid dengan masing-masing menerima RM2,000 manakala 30 surau (RM800).

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban pihak pengurusan rumah ibadat ini selain menghidupkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti,” katanya ketika dihubungi.

Wei Kiat berkata pihaknya turut membuat edaran bubur lambuk dan kurma di sekitar bazar Ramadan selain mengadakan majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat.

Dalam perkembangan lain, Wei Kiat mempelawa penduduk Rawang beragama Islam dan berpendapatan seisi rumah RM3,000 ke bawah memohon baucar beli-belah Aidilfitri.

“Kita ada 550 kuota baucar tahun ini, saya menyeru penduduk Rawang datang ke pusat khidmat masyarakat DUN Rawang untuk memohon segera baucar ini.

“Baucar akan diedar pada 9 April ini di pasar raya NSK Rawang Jaya. Saya berharap pemberian bantuan daripada Kerajaan Selangor ini menceriakan sambutan perayaan nanti,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan sempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :