Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan sedia bincang naikkan kadar pengeluaran KWSP untuk tunai haji

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan sedia berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menaikkan kadar pengeluaran simpanan akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi  menunaikan haji.

Menteri Hak Ehwal Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata langkah itu bagi membantu menampung perbelanjaan jemaah susulan kenaikan kos ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika sidang media prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan di ibu negara pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im

“Insya-Allah saya akan berbincang dengan TH. Saya juga akan minta TH adakan perbincangan lanjut dengan KWSP seperti yang dicadangkan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri ketika sidang Dewan Rakyat hari ini.

Setakat ini, KWSP menetapkan pengeluaran akaun 2 bagi tujuan mengerjakan haji dengan jumlah maksimum RM3,000.

Bagaimanapun, TH menjangkakan kos menunaikan ibadah itu tahun ini meningkat sehingga RM31,000 bagi setiap jemaah haji Muassasah berbanding RM28,632 tahun sebelumnya.

“Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH kadar tukaran mata wang ringgit berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika, kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi.

“Selain itu projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan serta caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah strategik menangani kenaikan kos haji yang berterusan, TH memeterai perjanjian jangka panjang bagi beberapa perkhidmatan asas termasuk penerbangan khas haji, penyewaan bangunan penginapan dan sajian jemaah.


Pengarang :