Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan mengurniakan watikah pelantikan nazir dan imam masjid Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Ketua polis negara antara 1,256 imam, nazir terima watikah lantikan

KLANG, 2 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor perkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 1,256 imam dan nazir masjid bagi penggal 2023 hingga 2025 termasuk ketua polis negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ketika menyempurnakan istiadat berkenaan di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Selain Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, bekas Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Petronas Dagangan Bhd Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir turut menerima lantikan, masing-masing sebagai nazir Masjid An-Nur dan Masjid Al-Falah Subang Jaya.

Baginda ketika bertitah berharap penerima watikah dapat melaksanakan amanah dengan baik bagi membimbing ahli kariah menjadi ummah yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Beta difahamkan nazir dan imam terpaksa melepasi beberapa proses temu duga dan tapisan teliti oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

“Dengan proses lantikan ketat ini, beta menaruh keyakinan nazir dan imam di hadapan ini terdiri daripada individu berpengetahuan agama tinggi, akhlak baik serta menunjukkan kepimpinan berintegriti,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan penerima watikah memastikan masjid berperanan sebagai pusat ibadat, keilmuan, dakwah dan kemasyarakatan umat Islam.

“Masjid perlu ditadbir lebih profesional dan sistematik agar menjadi pusat aktiviti masyarakat setempat, sumber ilmu, merancakkan pembangunan sosio ekonomi serta menjadi platform penting penyatuan dan perpaduan ummah.

“Nazir, imam serta jawatankuasa mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan mempunyai niat ikhlas untuk menarik umat Islam terutama ahli-ahli kariah hadir dan mendekati masjid,” katanya.


Pengarang :