Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Langat di Padang KRT, Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kewangan negeri dijamin terus kukuh, persediaan hadapi cabaran ekonomi

HULU LANGAT, 4 MAC: Kewangan Selangor dijamin terus kukuh berikutan kutipan hasil tinggi diperoleh dalam tempoh beberapa tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari perkembangan berkenaan membantu Kerajaan Negeri mendepani sebarang kemungkinan yang memberi kesan kepada ekonomi,

“Kita bersyukur Selangor konsisten dan berkeupayaan dalam pastikan hasil negeri dikutip dengan baik. Tahun lepas kita kutip lebih RM2.5 bilion tertinggi dalam tempoh lima tahun.

“Simpanan-simpanan ini berguna untuk kita terjemah dan kembalikan kepada rakyat selain program tahunan yang kita lakukan dari Inisiatif Peduli Rakyat sampai Iltizam Selangor Penyayang,” katanya berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Langat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Langat di Padang KRT, Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tahun lalu Selangor mencatat hasil negeri sebanyak RM2.505 bilion, lebih RM500 juta mengatasi sasaran sekali gus antara pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun terakhir.

Selangor turut menjadi penyumbang terbesar ekonomi Malaysia melibatkan 24.8 peratus daripada nilai keseluruhan hasil kestabilan dan pengukuhan tadbir urus.

Sementara itu, Amirudin berkata JKSP diteruskan ke beberapa daerah lagi sebelum menyambut Ramadan dan disambung semula selepas perayaan Aidilfitri.

“Kita teruskan lepas raya ke sembilan lokasi berlainan untuk sampaikan inisiatif rakyat, maklumat Belanjawan Selangor selain terangkan belanjawan persekutuan yang baharu dibentang,” katanya.


Pengarang :