Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 6 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kurangkan khidmat perunding, PM mahu penjawat awam kemudi projek utama

PUTRAJAYA, 6 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tugas besar dalam penilaian dikembalikan kepada penjawat awam dan mengurangkan kebergantungan kepada konsultan dalam era pentadbirannya.

Berdasarkan pengalamannya berkhidmat selama lapan tahun di Kementerian Kewangan sebelum ini, Anwar berkata beliau dapat menyaksikan kompetensi pegawai-pegawai yang ada memimpin dan mengemudi sesuatu projek, dan jika perlu hanya dibantu satu atau dua konsultan.

“Saya nak dalam pentadbiran sekarang ini kita kembalikan tugas besar dalam penilaian itu adalah tugas penjawat awam,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Merujuk kepada kejayaan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memperoleh US$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS), Anwar berkata antaranya ia adalah hasil usaha penjawat awam seperti Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kira-kira RM8 bilion yang masuk ke dalam tabung negara itu membuktikan kejayaan dapat dicapai jika kepercayaan dan keyakinan diberi kepada pegawai.

“Kalau kita serahkan kepercayaan kepada penjawat awam, pegawai boleh pergi dengan yakin,” katanya.

Anwar berkata beliau tidak menganggap pengambilan konsultan dan peguam swasta itu tidak penting, tetapi kepakaran dan keterampilan dalam perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan bagi memberi ruang terutamanya kepada pegawai muda.

“Kadar keupayaan dan kepakaran dalam kalangan penjawat awam itu ada dan kelebihan itu perlu dimanfaatkan untuk memulihkan imej penjawat awam sebagai yang terbaik dalam negara dan rantau ini,” katanya.

Anwar pada majlis itu juga merakam ucapan tahniah atas pelantikan semula Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara, pelantikan Datuk Dr Zulkapli Mohamed sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang akan membantu memantapkan perkhidmatan awam.

-BERNAMA


Pengarang :