Kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bergotong-royong mengecat Rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) pada program Ramadan Kasih PKNS di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 18 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program Ramadan Kasih PKNS atur pelbagai aktiviti, berbakti kepada komuniti 

RAWANG, 18 MAC: Sempena Ramadan ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengatur beberapa siri aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Ramadan Kasih PKNS.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Muhammad Sobree Zainal Abidin berkata sebagai permulaan program itu, pihaknya menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan dan mengecat rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) di Bandar Tasik Puteri di sini hari ini.

Beliau berkata aktiviti gotong-royong itu bertujuan menceriakan 40 penghuni rumah berkenaan bagi menjalani ibadah puasa tahun ini.

“Pada 2 April ini, penghuni PEKEAS akan dibawa membeli baju raya di Kompleks PKNS di Shah Alam diikuti majlis berbuka puasa pada 7 April,” katanya ketika berucap sebelum acara gotong-royong yang turut disertai 30 warga kerja PKNS.

Menurut Muhammad Sobree, PKNS turut menyumbang wang tunai RM5,000 kepada PEKEAS.

Berkongsi mengenai program Ramadan Kasih PKNS, Muhammad Sobree berkata semua aktiviti yang akan dijalankan di bawah program itu memberi peluang kepada PKNS untuk berbakti kepada komuniti.

Selain aktiviti gotong-royong, beliau berkata program Ramadan Kasih PKNS turut melibatkan pemberian raga Ramadan Kasih kepada 100 gelandangan di ibu kota dan pengedaran bakul makanan kering kepada 30 asnaf.

Sementara itu, Pengurus Pentadbiran PEKEAS Mohd Adlan Senin ketika ditemui pada majlis itu merakamkan penghargaan kepada PKNS atas program yang dilaksanakan.

Beliau berkata PEKEAS menempatkan 40 kanak-kanak berusia empat hingga 17 tahun terdiri daripada 25 lelaki dan 15 perempuan.

Mohd Adlan berkata PEKEAS yang memerlukan RM30,000 sebulan untuk operasi, bergantung kepada sumbangan orang ramai dan syarikat korporat.

– BERNAMA


Pengarang :