Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub (tengah) bergambar bersama penerima anugerah ketika Majlis Makan Malam dan Aspirasi sempena Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selhac 2023: Dr Abidin Hamid terima anugerah Tokoh Industri Halal

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seramai tiga pemain industri halal menerima pengiktirafan menerusi Majlis Makan Malam dan Aspirasi sempena Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 malam tadi.

Tokoh Industri Halal diberikan kepada Dr Abidin Hamid yang aktif dalam Jawatankuasa Pensijilan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengiktirafan juga diberikan kepada pengeluar minuman kordial dan jus Freshie(M) Sdn Bhd yang menerima Anugerah Setia Halal manakala Anugerah Komited Halal diberikan kepada pengeluar barangan penjagaan peribadi Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd.

Anugerah tersebut disampaikan EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Majlis yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub (tengah) bergambar bersama pereka fesyen tempatan ketika Majlis Makan Malam dan Aspirasi sempena Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program turut diserikan dengan pertunjukan fesyen daripada beberapa pereka fesyen yang sedang meningkat naik antaranya Masrina Abdullah, Jay Kumar, Maswira Majid, Ghadeez dan Kalima.

Selhac edisi kedua bertemakan ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pagi semalam.

Program itu berjaya menghimpunkan kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara antaranya Bangladesh, Australia, United Kingdom, Thailand, Vietnam dan Kanada.

Pempamer terlibat seperti MBI, Bank Islam, Maybank Islamic Berhad, Majlis Agama Islam Selangor, Farm Fresh Malaysia, Yayasan Hijrah Selangor dan Sate Kajang Hj Samuri.

Penganjuran selama tiga hari sehingga Ahad dari 9 pagi hingga 5 petang menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.

Enam komponen bakal diketengahkan sepanjang persidangan merangkumi forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.

Artis kebudayaan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) membuat persembahan tarian ketika ketika Majlis Makan Malam dan Aspirasi sempena Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :