SEPANG, 19 MAC: Taman Kucing di Taman Tasik Cyberjaya di sini dibuka kepada umum sejak Februari lalu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain berkata taman kucing itu dibina bagi memberi perlindungan kepada kucing jalanan di sekitar daerah itu agar terpelihara dan dilindungi.

“Taman seluas 0.3 ekar atau 1,000 kaki persegi ini mempunyai 31 ekor kucing setakat ini dan ia mampu menampung 200 ke 300 ekor kucing pada satu masa.
“Justeru, MPSepang juga mengalu-alukan penglibatan sektor korporat atau mana-mana pihak untuk memberi sumbangan serta bantuan kepada Taman Kucing ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman Kucing yang disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Taman Tasik Cyberjaya di sini semalam.

Abd Hamid berkata pihaknya turut merangka beberapa strategi dalam memastikan Taman Kucing itu dipelihara antaranya melantik panel doktor veterinar supaya kesihatan haiwan berkenaan terjaga.
Beliau berkata MPSepang turut mengadakan program pemandulan (neuter) dengan pihak berkaitan dan merancang mewujudkan kerjasama dengan Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan.
“Kita juga mahu anjurkan hari terbuka untuk menggalakkan pencinta haiwan membawa pulang kucing di sini untuk dipelihara atau membawa mana-mana kucing terbiar di sini dan pihak kami akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya.

Taman Kucing itu turut dilengkapi pejabat, ruang istirehat, klinik, unit rawatan rapi, unit pemulihan dan unit rawatan ibu dan anak kucing.