Projek menggantikan dan melebarkan jambatan Sungai Batang Kali, Hulu Selangor giat dijalankan dan ia dijangka siap 6 September 2023. Foto Facebook Lee Kee Hiong
ADNSELANGOR

Projek ganti, lebar jambatan Sungai Batang Kali siap 6 September

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 MAC: Projek menggantikan dan melebarkan jambatan Sungai Batang Kali, Hulu Selangor dijangka siap 6 September ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong berkata peratusan jadual kerja fizikal projek itu kini mencapai 81 peratus.

“Projek yang bermula 30 April 2018 dengan kos RM32 juta ini akan mempunyai lima lorong.

“Ia dijangka menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutama dari Rasa ke Batang Kali,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Projek pelebaran jambatan Sungai Batang Kali, Hulu Selangor giat dijalankan dan dijangka siap 6 September 2023. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Projek yang sepatutnya siap pada 29 April 2020 mengalami kelewatan berikutan beberapa masalah teknikal antaranya kelewatan kelulusan pengalihan utiliti selain pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika penularan Covid-19.

Selain itu inisiatif tambahan pasca pandemik dalam kontrak kerja kerajaan turut menyumbang lanjutan tempoh masa (EOT) projek terbabit.

Pada 16 Mei 2019 Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM69.2 juta bagi daerah Hulu Selangor.

Ia membabitkan projek fizikal di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM40 juta dan kemudahan infrastruktur bernilai RM29.2 juta di bawah projek jalan untuk keselesaan masyarakat di daerah berkenaan.


Pengarang :