Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama petugas DUN membuat persediaan jualan Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Kampung Bahtera, Batu Caves pada 18 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah bantu rakyat jimat belanja hingga 50 peratus

Oleh Fitri Hazim

GOMBAK, 18 MEI: Pengalaman kali pertama membeli barangan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menjimatkan perbelanjaan dapur suri rumah sehingga 50 peratus.

Kamimah Sumitro, 63, berkata dia dimaklumkan jirannya mengenai program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang menawarkan harga barangan dapur berpatutan dan berkualiti sebelum meminta anaknya membawa ke lokasi program di Kampung Bahtera, Batu Caves di sini hari ini.

Kamimah Sumitro, 63, ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Kampung Bahtera, Batu Caves pada 18 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Saya beli barang seperti telur, beras, ayam dan ia memang murah. Saya sudah buat kira-kira, saya jimat hingga 50 peratus berbanding beli di luar.

“Walaupun murah tetapi barang berkualiti. Saya bersyukur dan berpuas hati,” katanya kepada SelangorKini.

Kamimah antara lebih 300 pembeli yang mengunjungi jualan murah barangan asas peringkat DUN Sungai Tua.

Bagi Badariah Baharuddin, 40, ini kali kedua dia datang ke program JER.

Badariah Baharuddin, 40, ketika ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Kampung Bahtera, Batu Caves pada 18 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Saya datang lagi hari ini kerana program ini membantu meringankan beban pendapatan memandangkan harga barangan di luar masih mahal.

“Lokasi program hari ini dekat dengan rumah saya, jadi saya tak mahu lepaskan peluang beli barangan keperluan pada harga murah namun berkualiti,” katanya.

JER yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung (RM6 setiap pek).

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Kampung Bahtera, Batu Caves pada 18 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Turut dijual pada harga murah ialah minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

 


Pengarang :