Pengarah Imigresen Negeri Selangor Dr Muhammad Syahmi Jaafar menyampaikan sumbangan kepada penghuni pertubuhan kebajikan rumah anak yatim ketika program Libat Urus Antara Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor bersama Rakan Strategik di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 18 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembaharuan pasport dalam talian di dua pejabat Imigresen Selangor dijangka pertingkat pengeluaran

SHAH ALAM, 18 MEI : Urusan pembaharuan pasport Malaysia Antarabangsa menerusi sistem MyOnline Passport di dua Pejabat Imigresen di Selangor mulai 1 Jun dijangka dapat mempertingkat pengeluaran dokumen berkenaan.

Pengarah Imigresen Selangor Dr Muhammad Syahmi Jaafar berkata Pejabat Imigresen di Kelana Jaya dan Kajang terpilih melaksanakan inisiatif secara dalam talian berikutan kedua-dua pejabat itu mengeluarkan pasport tertinggi.

Menurutnya, secara purata pejabat di Kelana Jaya kerap menerima permohonan pasport sekitar 450 sehari manakala di Kajang (350 sehari) sekali gus mencatatkan antara lokasi tertinggi.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor Dr Muhammad Syahmi Jaafar berucap sempena program Libat Urus Antara Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor bersama Rakan Strategik di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 18 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Inisiatif ini dapat membantu dari segi mempertingkat dan mengoptimumkan lagi pengeluaran pasport dan memudahkan lebih ramai pelanggan untuk hadir ke pejabat kita bagi mendapatkan perkhidmatan.

“Persedian secara teknikal dan sumber tenaga memang telah dilakukan ke arah inisiatif baharu yang dibangunkan oleh kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Libat Urus Antara Jabatan Imigresen Malaysia Selangor Bersama Rakan Strategik di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan urusan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian mulai 1 Jun di tiga Pejabat Imigresen Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju.

Menurutnya, susulan pelaksanaan inisiaitif tersebut pemohon berusia 13 hingga 59 tahun yang mahu memperbaharui pasport tidak lagi perlu ke kaunter sebaliknya hanya memohon sscara dalam talian.

Terdahulu, mengulas berhubung program yang merupakan Majlis Sambutan Aidilfitri itu, Dr Muhammad Syahmi menjangkakan lebih 450 tetamu terdiri daripada pelbagai jabatan kerajaan, kedutaan dan media hadir ke majlis tersebut.


Pengarang :