Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Muzakarah Ulama-umara Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde Shah Alam pada 25 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lemah tafsir Islam sempitkan agama, lahir ilmuwan palsu lagi keliru

SHAH ALAM, 25 MEI: Kelemahan umat Islam dalam memahami dan mentafsir Islam mengakibatkan amalan beragama menjadi sempit, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, kekeliruan dalam aspek kehidupan berleluasa termasuk penekanan terhadap hukum-hakam secara tidak adil dan kecenderungan berdebat isu yang tidak membangunkan pengetahuan.

Beliau percaya masalah yang dialami umat Islam masa kini banyak persamaan dengan senario yang melatari penghasilan kitab Ihya Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.

“Imam al-Ghazali mengungkapkan betapa ramai penggiat ilmu yang keliru dan seakan-akan tidak mampu mengenal pasti yang mana dan apakah ilmu yang benar dan mana pula sebaliknya,” katanya.

Amirudin ketika merasmikan sesi Muzakarah Ulama-Umara menjelaskan pendahuluan kitab berkenaan dan faktor pendorong al-Ghazali menulis naskhah itu seterusnya menyelesaikan kemelut manusia.

Majlis tersebut sempena Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Selangor 20 Mei yang berakhir pada hari ini. Bekas Mufti Besar Mesir Sheikh Ali Jum’ah tokoh utama program itu.

Sekitar majlis penutup Muzakarah Ulama-umara Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde Shah Alam pada 25 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin berkata ada yang menganggap kejahilan sebagai ilmu manakala kelompok yang benar-benar menginsafi kepentingan ilmu dan kesannya dipandang sebagai tersasar lalu disisihkan.

Menjelaskan masalah akibat penyakit dalam kalangan ilmuwan sebelum merebak ke masyarakat menurut pandangan al-Ghazali, beliau berkata ramai ilmuwan palsu dan keliru diangkat umat.

“(Ini) mempengaruhi dan berpengaruh dalam masyarakat sehingga suatu yang mungkar diangkat
sebagai makruf dan begitu pula sebaliknya.

“Hasilnya, ilmu-ilmu keagamaan serta sinarnya lesu dan pudar. Hakikat sebenar ilmu dan kefahaman yang sempurna tentang agama dilupakan,” kata beliau lagi.

Sekitar majlis penutup Muzakarah Ulama-umara Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde Shah Alam pada 25 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :