Pengarah Projek Tempatan Fest 2023 Mohd Nasir Abdul Rashid yakin sasaran kehadiran 30,000 pengunjung dalam program pada 3 dan 4 Jun 2023 mampu dicapai. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tempatan Fest 2023 sasar 30,000 pengunjung, tawar tiket RM10

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 27 MEI: Kira-kira 30,000 pengunjung dijangka menghadiri Tempatan Fest 2023 yang diadakan pada 3 dan 4 Jun ini di Dataran MPKJ Stadium Kajang.

Pengarah projeknya Mohd Nasir Abdul Rashid berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai kerana menawarkan tiket serendah RM10 bagi pengunjung.

“Kita yakin sasaran itu mampu dicapai kerana harga tiket sangat mampu milik khususnya untuk remaja dan belia.

“Penyertaan nama besar artis tempatan seperti OAG dan Pretty Ugly juga dijangka mampu menarik peminat muzik tanah air,” katanya pada sidang media Tempatan Fest 2023 di Lobanghub Seksyen 12, di sini semalam.

Menurutnya kemasukan percuma diberi untuk kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Katanya harga tiket yang dikenakan berbaloi kerana produk dan persembahan yang disediakan sempena program itu berkualiti tinggi.

“Program sempena sambutan ulang tahun ke-10 Tempatan Fest ini bertujuan ketengahkan bakat kreatif dan produk usahawan belia yang berpotensi menjadi jenama besar.

Pengarah Projek Tempatan Fest 2023 Mohd Nasir Abdul Rashid (tengah) bersama komuniti usahawan pada sidang media Tempatan Fest 2023 di Lobanghub Seksyen 12 Shah Alam pada 26 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/ SELANGORKINI

“Malah kita turut ketengahkan puluhan usahawan dari industri kopi dan makanan supaya pengunjung dapat nikmati produk minuman dan makanan berkualiti tinggi,” katanya.

Tempatan Fest 2023 yang berlangsung dua hari itu menghimpunkan jenama produk gaya hidup dan kreatif usaha belia tempatan sejak 2013.

Ia dijangka disertai 150 usahawan kreatif tempatan dalam pelbagai bidang seperti rekaan, muzik, fesyen dan budaya.

Dalam pada itu, acara tahun ini terbahagi kepada dua segmen iaitu ‘Tempatan Stage’ yang menampilkan persembahan artis terkenal dalam negara dan ‘Pentas Rakyat’ menampilkan persembahan muzik tradisional, deklamasi sajak selain bual bicara menampilkan artis seperti M Nasir, Imuda dan Sabri Yunus.

Orang ramai boleh membuat pembelian tiket mulai hari ini menerusi laman web tftix.com dan tempatanfest.com.my


Pengarang :