Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DUN Teratai, Subang Jaya, Banting, Ijok antara lokasi jualan murah pagi ini

SHAH ALAM, 7 JUN: Dato’ Menteri Besar mengajak orang ramai mengunjungi program jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di sembilan lokasi, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jualan yang diadakan mulai 10 pagi menawarkan harga barangan makanan mentah dan asas rendah berbanding pasaran.

“Warga Selangor berpeluang menikmati harga barangan makanan mentah dan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena Jualan Ehsan Rakyat (JER),” maklumnya di Facebook.

Berdasarkan perkongsian infografik, jualan diadakan di pekarangan Masjid Al-Ubudiah Telok Gong (DUN Pelabuhan Klang), Pangsapuri Seri Pelangi, Puchong (DUN Seri Serdang), Tokong Cina Batang Berjuntai (DUN Ijok) dan Pekan Bangi (DUN Sungai Ramal).

Lokasi lain di Surau Nurus Saadah, Taman Meru 4 (DUN Meru), Court 6, USJ 8 (DUN Subang Jaya), Dewan Taman Putra, Jalan 19 (DUN Teratai), KRT Taman Desa Vista (DUN Sungai Pelek) dan SJKT Sungai Sedu (DUN Banting).

Jualan bertujuan meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Pada 31 Mei, Amirudin berkata jualan murah barangan asas  dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.


Pengarang :