AGENDAJENAYAH

Mayat dua beradik insiden perahu dipukul ribut dijumpai di kawasan paya bakau

ALOR SETAR, 6 JUN: Mayat dua beradik lelaki yang dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki mereka dipukul ribut di perairan Kuala Sala dekat sini awal pagi tadi, dijumpai petang ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata mayat Mohd Farizan Tajuddin, 41, dan abangnya Mohd Faudzi, 48, ditemukan di kawasan paya bakau.

“Kami telah dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat yang tersangkut di dalam lumpur paya bakau oleh nelayan tempatan pada jam 4.20 petang dan mayat yang dijumpai ialah Mohd Farizan dan telah disahkan oleh ahli keluarga mangsa.

“Pada 5.50 petang pula, mayat Mohd Faudzi telah dijumpai di kawasan berlumpur paya bakau tidak jauh dari mayat pertama ditemukan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata kedua-dua mayat telah dibawa keluar oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang turut dibantu penduduk tempatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

– BERNAMA


Pengarang :