AGENDAJENAYAH

Dua maut, lapan unit rumah kedai dua tingkat terbakar

SUNGAI PETANI, 18 SEPT: Dua individu ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas Kota Kuala Muda dekat sini, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata mangsa pertama dijumpai pada 3.19 pagi manakala mangsa kedua pada 6 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata identiti kedua-dua mangsa berkenaan masih belum dikenal pasti.

“Panggilan kecemasan berhubung kebakaran diterima pada 1.12 pagi dan anggota serta jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan BBP Sungai Petani digerak ke lokasi kejadian dibantu pasukan BBP Kuala Muda, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awang Hidzel berkata kebakaran melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat kelas B dengan setiap satu unit berkeluasan 20 x 80 kaki persegi.

Katanya, kebakaran dapat dikawal pada 3.08 pagi dan mangsa yang rentung telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :