Pengunjung menyertai aktiviti panjat batu kapur pada Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Karnival ekstrem Gua Damai uji stamina, ketangkasan, kanak-kanak paling teruja

GOMBAK, 18 SEPT: Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 memberi peluang kepada kanak-kanak mempamer ketangkasan dalam sukan lasak yang mencabar dan menguji stamina.

Tujuh aktiviti lasak disediakan untuk mereka seperti luncur keluang (flying fox), panjat batu kapur, abseiling, panjat pokok, paintball, base jump dan memanah.


Kanak-kanak menyertai aktiviti panjat pokok di Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Suri rumah, Suzana Khalid, 40, berkata beliau sanggup membawa anak tunggalnya, Muhammad Zayyad Rizqi Khairul Akmaludin, 9, dari Dengkil untuk menyertai karnival itu.

“Anak saya menunjukkan minat aktiviti sukan lasak sejak tahun lalu. Jadi kali ini saya bagi peluang untuk dia cuba memanjat gua batu kapur.


Suzana Khalid, 40, bersama anaknya Muhammad Zayyad Rizqi bin Khairul Akmaludin, 9, yang menyertai Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Dia nampak meyakinkan dan boleh buat. Mungkin selepas ini saya datang ke sini setiap tahun untuk beri peluang dia membuat aktiviti lain yang lebih mencabar,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, Dhamirah Kaisa Zahari, 7, teruja apabila pertama kali berpeluang melakukan aktiviti sukan lasak luncur keluang bersama abang dan kakaknya.

Menurut ibunya, Masita Mohd Noh, 42, Dhamirah mula menunjukkan minat terhadap sukan ekstrem sama seperti kakak dan abangnya selepas menyertai karnival tersebut.

“Ini merupakan tahun keempat kami sekeluarga datang ke sini. Setiap tahun memang kami tunggu program ini kerana ada banyak aktiviti menarik.


Masita Mohd Noh, 42, (dua kanan) bersama anaknya, Dhamirah Kaisa Zahari 7, (kiri depan), suami, Zahari Razak, 45, dan anak, Dhiya Imanina Zahari, 12 (tengah), Muhammad Irfan Zahari 15 (kanan) ketika menyertai Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kebetulan kami sekeluarga juga meminati aktiviti lasak. Kalau ada waktu lapang, kami suka melakukan aktiviti luar seperti berkhemah dan sebagainya,” katanya yang bekerja sebagai guru.

Karnival dua hari yang dihadiri lebih 4,000 peserta itu adalah anjuran bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Tourism Selangor dan Tourism Malaysia.

Ia diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat selain mempromosi lokasi pelancongan sukan ekstrem berkenaan.


Kanak-kanak menyertai sukan lasak di Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program itu dihadiri Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Rahim Kasdi, Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi serta Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah Azmi Abdullah.

 


Pengarang :