Atlet wushu kebangsaan Wong Weng Son. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Wushu terlepas peluang tuai pingat pertama negara

HANGZHOU, 24 SEPT: Atlet wushu kebangsaan Wong Weng Son, yang diramal mampu menyumbangkan pingat pertama kontinjen negara di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, menamatkan saingan akhir changquan lelaki, di kedudukan kedua tercorot di sini, hari ini.

Keputusan mengejutkan di Pusat Sukan Xiaoshan Guali itu, menyaksikan Weng Son kempunan menaiki podium Sukan Asia buat julung kali pada penampilan keduanya di temasya berkenaan, selepas membuat penampilan pertamanya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 31 tahun itu, mengumpul keseluruhan 9.000 mata di posisi ke-13 daripada keseluruhan 14 peserta.

Pingat emas dimenangi atlet tuan rumah Sun Peiyuan yang juga juara dunia 2015, selepas mengumpul keseluruhan 9.840 mata sekali gus mempertahankan kilauan yang dimenangi edisi lepas.

Juara dunia 2019 dan pemenang emas Sukan SEA 2023 Edgar Xavier Marvelo dari Indonesia, meraih perak (9.786 mata) dan gangsa menjadi milik wakil Macau Song Chi Kuan selepas memungut 9.760 mata.

Bercakap kepada media selepas saingan akhir itu, Weng Son yang menduduki tempat kesembilan dalam acara sama pada edisi lalu, tetap berpuas hati dengan persembahannya biarpun tidak berjaya menuai pingat untuk kontinjen negara.

“Untuk kali ini ia lebih baik daripada penampilan pertama saya sebelum ini, saya sudah buat persiapan yang baik, saya tidak rasa gementar dan penuh berkeyakinan untuk berjuang sebaik mungkin.

“Tapi dalam keadaan ini ada darjah kesukaran yang saya tidak pasti sama ada dapat mencapainya atau pun tidak, perlu lihat semula (ulang tayang)…mungkin capai tapi malangnya juri tidak beri markah sepenuhnya,” kata juara dunia 2017 dalam acara jianshu itu.

Mengulas lanjut, beliau berazam mengubati kekecewaannya pada dua kejohanan akan datang, masing-masing Sukan Tempur Dunia di Riyadh, Arab Saudi pada Oktober ini dan Kejohanan Dunia di Texas, Amerika Syarikat sebulan kemudian.

“Di kejohanan dunia akan bertanding acara kegemaran saya iaitu jianshu dan qiangshu, saya akan cuba sekali lagi dapatkan pingat…kekurangan (ketika ini) tidak begitu banyak, cuma kena perbaiki dari segi ketahanan dan stamina, tetapi kedua-dua faktor itu memang pada tahap terbaik hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seorang lagi atlet negara Sydney Chin akan turun beraksi dalam final acara taijijian wanita pada sebelah petang.

– BERNAMA


Pengarang :