Antara sasangan pengantin pada majlis akad nikah dalam program Aqdun Mubarak Zon 2 di Masjid Perodua, Bandar Serendah pada 23 September 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengantin mualaf teruja sertai majlis nikah perdana anjuran Jais

HULU SELANGOR, 24 SEPT: Impian seorang mualaf untuk melangsungkan pernikahan sejak Mei lalu akhirnya tercapai apabila beliau dan pasangannya menyertai program pernikahan perdana anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Teruja hari bahagianya diraikan secara beramai-ramai termasuk keluarga dari Sabah, Mc Evety Petrus, 39, bersama suami Mohd Fahmi Miswan, 38, turut mengakui belanja perkahwinan mereka juga dapat dijimatkan.

Mc Evety Petrus, 39, bersama suami Mohd Fahmi Miswan, 38

“Kami mengetahui mengenai program ini semasa menjalani kursus kahwin bulan Mei lalu dan kami cuba memohon. Alhamdulillah terpilih.

“Saya dan suami gembira sebab dapat jimatkan belanja kahwin tambahan keluarga saya jauh di Sabah,” katanya ketika ditemui semalam.

Mereka antara sembilan pasangan yang diraikan dalam Program Aqdun Mubarak: Memeterai Kontrak Keberkatan Ilahi di Masjid Perodua Bandar Serendah di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengantin Alif Iskandar, 28, berkata syarat permohonan yang tidak terlalu ketat memudahkan persiapan majlisnya bersama pasangan Zu Fitriah Huzairi, 28.

Alif Iskandar, 28 dan pasangannya Zu Fitriah Huzairi, 28

“Konsep program ini banyak memudahkan kami untuk merancang majlis perkahwinan termasuk dapat berjimat,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2015, program pernikahan perdana anjuran Jais sudah memberi manfaat kepada lebih 100 pasangan dengan peruntukan RM36,000 untuk setiap kali penganjuran.

Menerusinya, setiap pasangan hanya perlu mengeluarkan RM2,000, manakala belanja keseluruhan majlis ditanggung Kerajaan Negeri termasuk melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor.

Program sama dijadual berlangsung di Zon 3 membabitkan daerah Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat di Masjid Bandar Tun Hussein, Cheras bulan depan.

Timbalan Pengarah Pengurusan Jais Faisal Abdul Rajid (enam dari kanan) bersama Timbalan Pengarah (Operasi) Jais Salwana Ahmad Dahlan (lima dari kanan) bergambar bersama pengantin yang menyertai program pernikahan beramai-ramai, Aqdun Mubarak Zon 2 di Masjid Perodua, Bandar Serendah pada 23 September 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Pengarang :