AGENDAJENAYAH

Bayi dua bulan maut di taska, polis tahan pengasuh

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Seorang wanita warga asing yang bekerja sebagai pengasuh di sebuah taska di Kota Damansara dekat sini ditahan polis semalam, susulan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di premis itu, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan yang merawat mangsa.

“Suspek yang bersuamikan seorang lelaki tempatan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya semalam selepas hadir memberi keterangan di sana.

“Buat masa ini polis telah merakam keterangan tiga individu termasuk ibu bapa mangsa dan akan memanggil pemilik taska bagi memastikan sama ada pusat asuhan berkenaan berlesen atau tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mohamad Fakhrudin berkata punca kematian masih belum diketahui dan pihaknya sedang menunggu hasil bedah siasat.

“Buat masa ini kita tumpu siasatan mengikut seksyen berkenaan dan akan lihat keperluan terhadap seksyen lain, bergantung kepada hasil bedah siasat,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :